Friday, October 10, 2008

Selamat Datang Ke Ruangan Ilmu Bahasa Melayu

More GREETING graphics

Destinasi Pelancongan












Destinasi pelancongan merupakan tempat atau kawasan yang menarik untuk dilawati dan dikunjungi oleh pelancong. Setiap destinasi pelancongan terutamanya di Malaysia mempunyai daya tarikan yang tersendiri bagi memberi para pelancong satu pengalaman yang berbeza daripada tempat pelancongan yang lain.

BANDARAYA METROPOLITAN


Menara Berkembar Petronas- Dibina dengan ketinggian 452 meter (1482 kaki) dan ia menjadikan menara berkembar petronas ini sebagai menara berkembar yang tertinggi di dunia. Ia dibina dengan 88 tingkat dan mempunyai sebanyak 32000 tingkap. Menara ini dihubungkan melalui jambatan/titian langit ’skybridge’ di tengahnya. Anda harus meluangkan masa anda untuk melalui jambatan/titian langit ’skybridge untuk melihat pemandangan yang indah bandaraya Kuala Lumpur. Menara ini pernah dijadikan lokasi penggambaran bagi filem Entrapment yang dibintangi oleh Sean Connery dan Caterine Zeta Jones. Apabila anda mengunjungi menara berkembar ini, ambillah sedikit masa anda untuk berjalan di sekitar taman KLCC (20 hektar) yang terletak berhampiran dengan menara ini. Penuhi masa lapang anda dengan membeli belah di Suria KLCC yang terletak di dalam menara ini.



Pulau Pinang- turut dikenali dengan Pulau Mutiara, Pulau Pinang terkenal dengan kecantikan semulajadinya dan warisannya yang eksotik. Ia terletak di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Pulau Pinang merupakan pulau yang unik, memiliki pelbagai jenis kebudayaan, penduduk dan makanan. Dengan kepelbagaian penduduk di Pulau Pinang, tidak hairanlah jika anda dapat melihat gereja, kuil, tokong dan masjid dengan perjalanan yang hanya mengambil masa selama 5 minit. Bangunan penjajah masih wujud sehingga sekarang dan akan terus diabadikan sebagai bangunan bersejarah. Ambillah kesempatan untuk merasa makanan yang tersohor di Pulau Pinang iaitu Nasi Kandar, menaiki feri terutama di waktu malam dan berjalanlah di sepanjang pantai Batu Ferringi sambil menikmati pemandangannya yang amat mempersonakan.

TANAH TINGGI




Tanah Tinggi Cameron merupakan tanah tinggi yang terletak di negeri Pahang iaitu kira-kira 20 kilometer dari bahagian timur Ipoh dan 150 kilometer dari bahagian utara Kuala Lumpur. Ia berada di ketinggian 5000 kaki (1,500) dari aras laut dan merupakan kawasan beriklim sejuk dengan suhu tidak melebihi 25°C.



Tanah tinggi ini dinamakan sempena dengan nama William Cameron, seorang pegawai British yang menemui dataran tinggi ini semasa ekspedisi pemetaan pada tahun 1885. Kemasyuran Tanah Tinggi Cameron meningkat naik semasa zaman penjajahan British apabila kesuburan tanah tinggi ini digunakan untuk menanam teh, iaitu barang dagangan yang bernilai pada masa tersebut. Tanah Tinggi Cameron masih lagi menjadi kawasan penanaman teh yang masyur sehingga sekarang.

Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia.

Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di restoran gaya Tudor - semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.

Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan beberapa hari di sini, jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda pasti kembali segar untuk percutian anda seterusnya. Salah satu aktiviti popular di Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands ialah menikmati hidangan air teh dan biskut 'scone'.

Tradisi asli Inggeris ini bermula di zaman penjajahan British apabila para pegawai Inggeris menggunakan lokasi di tanah tinggi ini sebagai tempat berehat yang jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah. Aktiviti memerhati burung dan menyusuri trek di hutan juga amat popular di kalangan pelawat di sini.

Anda boleh tiba di Tanah Tinggi Cameron kurang dari sejam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan atau kira-kira 3 1/2 jam perjalanan sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur.

Genting Highlands

Kota Keriangan yang terletak di puncak Genting Highlands yang sejuk dan berangin ini menawarkan keriangan dan keseronokan tanpa henti. Salah satu tarikan utama di Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh sebab kedudukannya yang terletak 2,000m dari paras laut, warga Malaysia gemar datang ke sini semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah!

Pada waktu petang, persembahan-persembahan hebat diadakan di Pavilion atau Pentas Pertunjukan Antarabangsa Genting, sama ada pertunjukan silap mata yang mengelirukan atau pun persembahan luncur ais yang hebat. Pelawat juga boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di sini.

Taman tema tertutup dan kompleks membeli-belah First World Plaza menyediakan pelbagai jenis permainan serta enam kawasan bertema yang berasaskan ibukota dan tempat terkenal di seluruh dunia - Perancis (Champs Elysees), England (London), Itali (Venice), Amerika (Times Square dan Universal Walk), Switzerland (Banjaran Swiss) dan Malaysia (Genting Walk).

Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Kawasan Snow World memang sejuk, oleh itu, jangan lupa memakai pakaian yang tebal. Kanak-kanak pasti sukakan Kolam Air Hutan Hujan, walaupun keadaan cuaca di sini agak sejuk, air di dalam kolam ini sentiasa hangat.

Antara tarikan lain yang terdapat di sini termasuk Genting Sky Venture, satu-satunya alat kemudahan yang memberikan pengalaman berpayung terjun yang terdapat di Asia, dan Genting X-pedition Wall, sebuah tembok pendakian bertaraf antarabangsa setinggi 15 meter dengan tebing terjuntai sepanjang 6 meter. Lain-lain tarikan di sini termasuk kemudahan bermain bowling, arked video, pawagam cineplex dan macam-macam permainan lain yang pasti menyeronokkan.

Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan satu-satunya kasino di Malaysia.

PULAU DAN PANTAI

Pulau Redang

Pulau Redang yang terletak kira-kira 45 kilometer dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan sebuah pulau yang sangat cantik dengan menawarkan air laut yang jernih yang membolehkan anda melihat terumbu karang yang beraneka jenis dan pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni di dasarnya.

Pulau yang indah ini amat sesuai untuk anda yang menggemari aktiviti-aktiviti yang mencabarseperti aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Selain daripada itu, pulau ini juga penting untuk pemeliharaan penyu-penyu yang terdiri daripada pelbagai spesis.

Di sekitar perairan di Pulau Redang terdapat dua buah bangkai kapal karam iaitu Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse. Kapal-kapal ini karam semasa Perang Dunia Kedua dimana ia membolehkan tentera Jepun untuk menakluki Malaya pada masa itu.

Pulau Tioman

Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.

Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam.

Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.

Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.

Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.

Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu.

Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.

Port Dickson

Kawasan pesisiran pantai Port Dickson (PD) terkenal sebagai destinasi percutian hujung minggu. Ramai warga kota yang bertandang ke sini setiap ada kelapangan.

Bagi mereka yang tidak tahu, nama Port Dickson ini sebenarnya diambil sempena nama seorang pegawai British Sir Joh Frederik Dickson pada 1889.

Ada juga yang mengatakan nama itu sebenarnya adalah nama seorang pegawai British yang menjaga pelabuhan British yang mengendalikan timah di Lukut (daerah Port Dickson) pada satu ketika dahulu.

Port Dickson terkenal kerana kawasan pantai, yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Terdapat juga tempat penginapan bagi mereka yang ingin bercuti di sini.

Antara pantai yang terkenal di sini ialah Teluk Kemang dan Teluk Biru (Blue Lagoon), selain terdapat kemudahan untuk sukan air dan aktiviti pantai.

Video Perkelahan Di Pantai

http://www.blogger.com/video-thumbnail.g?contentId=55d95ab1ace518e7&zx=0.49705393332988024



TEMPAT BERSEJARAH



Bukit St. Paul (A'Famosa)

Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa.

Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka di Timur Jauh ketika itu kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.

Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.

Serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya gerbang pintu masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.

Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul pada lewat petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini.

Dapat anda bayangkan kegemilangan dan penderitaan yang melanda pihak Portugis di sini pada suatu waktu dahulu...

TAMAN NEGARA

Taman Kinabalu

Taman Kinabalu merangkumi kawasan seluas 754 km persegi dan terdiri daripada Gunung Kinabalu, Gunung Tambayukon dan kawasan kaki bukit.

Taman ini diwartakan bagi memelihara persekitaran semulajadi yang berharga ini. Gunung-gunung di sini mempunyai sejarah geologi yang menarik dan dibentuk dalam masa satu juta tahun 'sahaja'.

Gunung Kinabalu yang kelihatan perkasa ini sebenarnya sebuah bongkahan granit yang besar yang kemudiannya menjulang tinggi di permukaan bumi.

Proses penghakisan yang berlaku bertahun-tahun lamanya telah membuang lapisan pasir dan batu beribu kaki tebalnya dan mendedahkan bentukan granit ini.

Ketika Zaman Ais, glasier-glasier yang mengalir di puncaknya telah melicinkan permukaannya, tetapi bahagian puncak yang lebih tinggi dari aliran glasier tersebut tidak terganggu dan kekal dengan permukaannya yang kasar. Permukaan kasar inilah yang menjadi tarikan utama Taman Negara ini.

Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok

Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok ialah tempat yang mempesona dimana pelawat boleh memerhatikan para pelatih mengajar Orang Utan yang kehilangan ibubapa atau yang telah tersingkir mengenai cara-cara memanjat di persekitaran semulajadi mereka. Di pusat perlindungan ini, haiwan di dalam kurungan dilatih semula untuk menyediakan mereka bagi menghadapi kehidupan di hutan tempat tinggal semulajadi mereka. Pusat ini membolehkan pelawat melihat haiwan purba ini dengan lebih dekat .

Waktu terbaik untuk berkunjung ke sini ialah pada pukul 10.00 pagi dan 2.30 petang apabila Orang Utan di sini keluar untuk mendapatkan makanan iaitu hidangan pisang dan susu. Anda boleh melihat Orang Utan di sini diberi makan dari platform di tengah kawasan ini. Orang Utan yang juga digelar 'Manusia Liar Borneo' (Wild Man of Borneo) akhirnya akan di hantar semula ke dalam hutan apabila mereka sudah berupaya menjaga diri mereka.

Selain dari Orang Utan terdapat juga lebih 200 spesis burung dan pelbagai jenis tumbuhan liar yang boleh dijumpai di dalam kawasan hutan simpan seluas 5.666 hektar ini.

Taman Negara Gunung Mulu

Taman Negara Gunung Mulu mengandungi rangkaian-rangkaian gua yang terpanjang di dunia dan di sini juga terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung empat puluh biji kapal terbang Boeing 747.

Anda juga boleh melawat Gua Rusa iaitu gua yang mempunyai terowong yang terbesar di dunia yang boleh memuatkan lima buah gereja besar bersaiz gereja Saint Paul di London.

Satu lagi tarikan utama di sini ialah Gua Air Jernih iaitu gua yang terpanjang di Asia Tenggara. Gua-gua yang besar ini menjadi tempat tinggal berjuta-juta ekor kelawar dan burung layang-layang yang terbang keluar berkumpulan menuju ke hutan setiap waktu senja!

Pelawat yang gemarkan alam semulajadi akan merasa kagum dan teruja melihat contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam serta ngarai yang dalam yang diberi gelaran 'The Pinnacles'.


ANTARA TEMPAT MENARIK DI MALAYSIA

Pasar Siti Khadijah

Cara bijak untuk meneliti kehidupan di sebuah bandar di Malaysia ialah dengan melawat pasar tempatannya yang menjadi nadi kehidupan setiap bandar. Pasar Siti Khadijah dinamakan sempena isteri pertama Nabi Muhammad yang merupakan seorang ahli perniagaan. Nama yang sesuai untuk sebuah pasar yang mana penjaja di dalamnya kebanyakannya terdiri dari kaum wanita.

Terdapat sesuatu untuk semua orang yang berkunjung ke pasar ini dari hasil tanaman segar hingga kraftangan dan kuih-muih tradisional. Ianya juga menggambarkan budaya dan cara hidup di Kelantan yang penuh dengan warna, bau dan bunyi yang unik milik penduduk di situ.

Rancangan Pengajaran Harian Tahun 2

Mata Pelajaran : Bahasa Melayu

Tahun : 2 Gemilang

Tarikh : 21 Julai 2008

Masa : 60 minit ( 8.45-9.45 pagi )

Bilangan Murid : 30 orang

Tajuk : Destinasi Pelancongan

Ojektif Pembelajaran : Pada akhir pengajaran, murid-murid boleh

i. Bertutur. Bertutur dengan menggunakan bahasa yang sesuai, bertatasusila dan menggunakan kata nama dan kata ganti diri

ii. Membaca. Membaca petikan yang diberi dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul, lancar dan memahami perkara yang dibaca

iii. Menulis. Menulis semula soalan yang diberikan dan menjawab dengan baik berdasarkan petikan yang telah dibaca.

Fokus utama :

Berbual tentang sesuatu perkara berkaitan kehidupan seharian menggunakan kata, ungkapan, ayat, sebutan, intonasi dan nada yang sesuai.

Aras 1

i. Berbual tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang sesuai

ii. Melafazkan ucapan secara bertatasusila dalam perbualan.

Aras 2

i. Menggunakan kata panggilan dan kata ganti diri yang sesuai mengikut situasi perbualan

Aras 3

i. Menyatakan perasaan dan teguran secara berterus terang dengan sopan dalam perbualan.

Fokus sampingan :

Membaca kuat teks petikan bertajuk ‘Perjalanan dengan Kereta Api’ dengan sebutan dan intonasi yang betul,membaca dengan lancar serta memahami perkara yang dibaca.

Aras 1

i. Membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang betul serta lancar.

ii. Menjawab soalan pemahaman berdasarkan teks yang dibaca

Menulis dan menjawab soalan yang dibina oleh guru.

Aras 1

i. Menulis soalan dalam buku latihan dan murid menjawab soalan tersebut berdasarkan petikan.

Kemahiran Bahasa :

Bertutur dan mendengar, mendengar dan menulis

Sistem Bahasa :

Tatabahasa - Kata nama am, khas dan ganti nama.

Sebutan dan intonasi - Dialog, petikan

Pengisian Kokurikulum :

Ilmu - Kajian Tempatan

Nilai - kasih sayang, menghargai keindahan alam sekitar

Kemahiran Bernilai Tambah :

Kemahiran berfikir - menjana idea, menyampaikan maklumat dengan betul

Kecerdasan Pelbagai - verbal linguistik

Pengetahun Sedia Ada : Pernah dan tahu :

-membaca dan menyampaikan maklumat.

-membina soalan

Bahan Bantu Belajar : Komputer

Gambar tempat pelancongan di Malaysia

Lembaran kerja

Langkah

Isi Pelajaran

Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran

Catatan

Set Induksi

5 minit

Aktiviti pada masa lapang

Guru meminta murid-murid untuk menyatakan aktiviti yang dilakukan oleh mereka pada masa cuti.

BBM : Gambar Destinasi Pelancongan


Langkah 1

10 minit

Ceritakan peristiwa menarik yang dialami

Guru meminta beberapa orang murid menceritakan tentang peristiwa menarik yang dialami pada masa cuti dan murid lain mendengarnya.

Sistem Bahasa :

Tatabahasa

Kata nama

Kata nama khas

KBT :

Menyampaikan maklumat.

Verbal linguistik

Langkah 2

20 minit

Ceritakan satu peristiwa

Guru membahagikan murid kepada kumpulan 6 kumpulan.

Setiap kumpulan akan diberikan tajuk perbincangan iaitu perkelahan atau lawatan.

Guru meminta seorang murid untuk bangun dan murid lain menyoalnya secara bergilir-gilir.

- Ke mana kamu pergi?

- Bagaimana kamu pergi?

- Apa yang kamu bawa?

- Apa peristiwa yang menarik di sana?

KBT :

Kontekstual

Nilai murni :

Kerjasama

Langkah 3

20 minit

Membaca petikan

Perjalanan Dengan Kereta Api

Pembentukan soalan

Guru mengedarkan satu petikan dan meminta beberapa orang murid membacanya dengan kuat.

Guru meminta murid lain mendengar dan menyemak bacaan tersebut.

Guru meminta murid membina soalan berdasarkan petikan tersebut.

Guru meminta murid menulis soalan yang dibina dalam buku latihan.

KP :

Verbal Linguistik

Penutup

5 minit

Penutup kognitif :

Apakah yang telah kamu pelajari sebentar tadi?

Guru menyimpulkan pelajaran dan menerangkan faedah yang bercuti serta menggalakkan murid bercuti bersama keluarga. Merujuk kepada slogan ‘Cuti-cuti Malaysia’

Nilai murni:

Menghargai keindahan alam




Perjalanan dengan Kereta Api

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah menaiki kereta api. Saya menaiki kereta api kerana hendak pegi ke butterworth. Pengalaman menaiki kereta api amat menyeronokkan.
Pengalaman dengan kereta api banyak kelebihannya. Laluan kereta api tidak terlibat dengan kesesakan lalu lintas. Oleh itu, perjalanannya cepat dan selesa. Selain itu, tambang kereta api agak murah.
Semasa menaiki kereta api, saya dapat mengisi masa lapang dengan membaca. Saya juga dapat melihat pemandangan yang indah di sepanjang kiri dan kanan jalan. Apabila lapar, saya pergi ke kantin unutk menjamu selera. Saya dapat melihat pelbagai ragam penupang semasa berjalan dari gerabak ke gerabak.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa maslah yang terpaksa saya alami. Kereta api akan berhenti di stesen yang tertentu sahaja. Kita terpaksa mencari kenderaan lain untuk pergi ke destinasi yang dituju.
Ada masanya perjalanan dengan kereta api tergendala. Perkara ini belaku mungkin disebabkan kerja-kerja pembaikan landasan. Oleh itu, ada penumpang yang terpaksa menunggu sehingga kerja itu selesai.
Saya berasa amat seronok menaiki kereta api. Hal ini demikian kerana saya berasa selamat kerana menaiki kereta api jarang-jarang terlibat dengan kemalangan.

VIDEO PERJALANAN DENGAN KERETAPI